Saham AIM Catat Lebihan Langganan
-----------------------------------------------------------------------------------------------------
Apr 10, 2006 - Berita Harian
ADVANCE Information Marketing Bhd (AIM) yang membuat tawaran awam permulaan
(IPO) sejumlah 35 juta saham biasa baru pada harga terbitan 42 sen sesaham
mencatat lebihan langganan sebanyak 55.45 kali.
AIM dalam kenyataannya di Kuala Lumpur semalam berkata, sejumlah 9,786 permohonan diterima bagi 56,445,900 saham bernilai RM23.707 juta untuk langganan awam.
Ketua Eksekutifnya, Nyang Koon Seng, berkata beliau yakin pelabur runcit dan institusi semakin sedar bahawa terdapat banyak syarikat Mesdaq yang mempunyai asas kukuh, portfolio kewangan stabil dan mempunyai potensi pertumbuhan tinggi.
Beliau berkata, syarikat percaya bahawa prinsip pengurusan kesetiaan yang sama bagi memastikan pulangan pelaburan perlu diguna pakai.
Sehubungan itu, katanya, AIM berhasrat memperuntukkan tidak kurang 40 peratus daripada keuntungan bersih dalam tahun kewangan ini dan tahun depan sebagai pembayaran dividen kepada pemegang sahamnya.
AIM yang terbabit sebagai penyedia penyelesaian penyumberan proses perniagaan (BPO) serantau dan salah satu syarikat tempatan yang menawarkan integrasi perkhidmatan pengurusan kesetiaan menyeluruh merangkumi khidmat rundingan, prasarana teknologi dan perkhidmatan sumber luar.
|