AIM Terokai Pasaran Serantau
-----------------------------------------------------------------------------------------------------
Mar
29, 2006 - Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 28 Mac - Advanced Information Marketing Bhd. (AIM), syarikat
penyelesaian penyumberan luar proses perniagaan, berhasrat meneroka
peluang-peluang perniagaan dalam rancangan peluasannya ke peringkat serantau
tahun ini.
`Pada masa ini kami sedang mengkaji negara-negara yang berdekatan seperti Indonesia, Thailand dan China bagi rancangan peluasan ke peringkat serantau,'' kata Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Nyang Koon Seng.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas pelancaran prospektusnya sempena cadangan penyenaraian di Pasaran Mesdaq Bursa Malaysia di sini hari ini.
Bagi Tawaran Awam Awalnya (IPO), AIM akan menawarkan sejumlah 35 juta saham biasa baru pada harga terbitan RM0.42 setiap satu dan daripada jumlah itu, sejuta saham akan diperuntukkan kepada orang ramai.
Menurut syarikat itu, penyenaraian tersebut akan menjana pendapatan berjumlah RM14.7 juta.
Sebahagian besar dana yang dikumpul itu akan digunakan bagi peluasan perniagaan, pertumbuhan, kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penggunaan teknologi maju.
AIM menyediakan rangkaian perkhidmatan penyumberan luar pengurusan yang menyeluruh kepada semua segmen industri termasuk barangan pengguna, perbankan dan kewangan, insurans, peruncitan, layanan, minyak dan gas serta makanan dan minuman.
Melalui anak syarikatnya, Customer Loyalty Solutions Sdn. Bhd., syarikat itu mewujud dan menguruskan program kesetiaan bagi pihak syarikat-syarikat tempatan dan multinasional.
Menurut satu laporan penyelidikan pasaran oleh Frost & Sullivan, 19 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan bagi pengiklanan dan promosi dalam tahun 2005 dibelanjakan untuk program mata ganjaran.
Perniagaan program kesetiaan di Malaysia dianggarkan bernilai RM2.4 bilion tahun ini dan diunjurkan berkembang kepada RM3.5 bilion menjelang 2010.
Koon Seng berkata, AIM adalah satu daripada peserta utama di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan pusat penyelesaian setempat bagi menguruskan program kesetiaan dan ia kini menguasai agihan pasaran sebanyak lebih 80 peratus.